Penambahbaikan Sistem Pendidikan Kita
Sejak sekian lama, sistem pendidikan yang berasaskan akademik telah digunapakai di negara kita. Dan sekian lama itu jugalah kita telah dimomokkan dengan perlunya kejayaan yang berasaskan jumlah A@A+ bagi menentukan halatuju selepas SPM dan bagi menjamin masa depan seseorang itu. Mungkin bukan semua orang berpandangan sebegitu namun, kerap kali kita dengar dari mulut ahli keluarga sanak saudara atau rakan taulan “Berapa A anak kau dapat?” membuatkan kita yang terpengaruh dengan “propaganda” kepandaian seseorang. Hakikatnya, jika kita amati situasi begini sebenarnya mewujudkan satu polemik yang boleh dikatakan tidak sihat kerana ianya lebih fokus kepada yang “berjaya” dari yang kurang bernasib baik.
Mungkin istilah keberjayaan seseorang itu adalah sangat subjektif kerana ia juga perlu diambil kira tentang usaha dan minat yang mendalam dalam sesuatu perkara, dan bukan hanya melihat dari segi tinggi rendah IQ atau keputusan belajar seseorang. Idea “pendidikan kepada semua” seharusnya dilihat dalam sudut yang lebih dinamik dimana keupayaan seseorang untuk belajar sesuatu perkara itu bergantung kepada tahap minat dan kebolehan pemahamannya. Jika ini tidak dapat dilihat, dari satu sudut ianya mewujudkan beberapa golongan; golongan “pandai” dan “tidak pandai” dan dalam konteks pandangan masyarakat dinegara kita, itu sahaja sudah cukup untuk melabelkan tahap “keberjayaan” seseorang dan halatuju selepas SPM.